MENERUSKAN tradisi mereka setiap dua tahun, Persatuan Chopin Malaysia akan menganjurkan Pertandingan Piano Chopin Antarabangsa Asean 2010 Ke-4 (4th Asean International Chopin Piano Competition 2010) yang bakal berlangsung selama seminggu bermula 22 November hingga 28 November ini di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur.

Pertandingan itu akan dibuka dengan persembahan khas Konsert Gala Pembukaan (Gala Opening Concert) di tempat berprestij, Dewan Filharmonik Petronas pada 23 November, jam 8.30 malam. Ia turut menampilkan persembahan dari pemenang pertandingan terdahulu.

Disusuli selepas itu, Konsert Gala Penutup (Gala Closing Concert) yang akan diadakan di Hotel Maya pada 28 November, jam 8 malam.

Presiden Persatuan Chopin Malaysia, Tunku Munirah Tunku Mustapha berkata, objektif pertandingan itu untuk mengetengahkan dan menggalakkan bakat-bakat pemain piano muda dari negara Asean membuktikan keupayaan mereka di pentas dan melahirkan pemain piano profesional taraf antarabangsa.

“Ini adalah kali keempat Kua Lumpur menjadi tuan rumah acara yang paling berprestij ini. Isteri mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali menjadi penaung untuk pertandingan ini. Ia juga menyokong wawasan kerajaan yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hub untuk kesenian, artistik dan pembangunan muzik.

“Menerusi penganjuran ini juga, kami berharap dapat mengenal pasti dan mencungkil bakat muda pemain piano dan membantu mereka bergelar pemain piano profesional sebagai karier.

“Inilah peluang dan kesempatan terbaik untuk bakat muda ini menunjukkan kebolehan bermain piano dalam kelas antarabangsa dan seterusnya membanggakan negara,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Maya, Kuala Lumpur.

Sidang media ini juga dihadiri Naib Presiden Persatuan Chopin Malaysia, Datin Alissa Fitri Hisham dan Pengarah Music Persatuan Chopin Malaysia, Profesor Snezana Panovska dan Penaung Pertandingan, Tun Dr. Siti Hasmah. Beliau turut menerima cek berjumlah RM10,000 sumbangan Ahli Lembaga Pengarah Bangkok Bank, Datuk Ruslan Khalid bagi menjayakan pertandingan ini.

Pertandingan ini juga berjaya menarik penyertaan 96 peserta dari Ukraine, Jepun, China, Australia, Hong Kong, Taiwan dan Kuwait. Malaysia akan diwakili oleh 3 peserta iaitu Chiew Zhi Hong, Clara Gan dan Brian Ting.

Kata Tunku Munirah, kesempatan ini juga perlu diambil oleh peserta muda negara bagi mempelajari teknik-teknik yang baik daripada mentor berlainan negara.

Malah mereka juga dapat berinteraksi dan berkongsi pengalaman dengan peserta dari negara lain dan merancang kerjasama untuk mempromosi muzik ke peringkat global.

“Dalam pertandingan kali ini, 7 panel juri terdiri dari pemain piano profesional dan profesor piano dari Malaysia, Poland, Korea, Singapura, Russia, Amerika Syarikat dan Vietnam akan menilai peserta yang bertanding,” katanya.

Sementara itu, ketiga-tiga bakat muda ini memberitahu sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melakukan yang terbaik bagi menaikkan nama negara. Mereka juga akan menggunakan peluang menyertai pertandingan ini untuk menimba pengalaman bagi memantapkan skil masing-masing.

Kenneth Teh Kien Huat, 24, gembira berpeluang mengadakan persembahan dalam Konsert Gala Pembukaan pada 23 November di Dewan Filharmonik Petronas. Dia mula bermain piano sejak berusia enam tahun dan pernah berguru dengan Profesor Snezana Panovska selama dua tahun sebelum mengambil Ijazah Sarjana dalam jurusan muzik di Tchaikovski Konservatori Music, Russia.

“Saya baru tiga bulan balik ke Malaysia dan mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas adalah satu peluang yang sangat bernilai. Semua orang teringin beraksi di sini.

“Persembahan saya akan diiringi oleh quartet dari Poland seramai 4 orang. Kami akan mempersembahkan lagu-lagu Chopin. Saya berjanji akan buat yang terbaik,” katanya yang banyak menimba pengalaman ketika belajar.

Mereka yang berminat menyaksikan kehebatan bakat-bakat muda ini boleh berkunjung ke Panggung Bandaraya kerana tiada tiket masuk dikenakan. Bagaimanapun tiket untuk menonton Konsert Gala Pembukaan boleh didapati
di Box Office, Dewan Filharmonik Petronas.

Bagi yang berminat menonton Konsert Gala Penutup pada 28 November, boleh mendapatkannya dari Symphonia Academy of Music di talian 03-90580104/ 03-90561912, Allegro Music & Arts Sdn. Bhd. (03-42515780) dan Twinkle Piano Sdn. Bhd. (016-2522855/ 03-78763244). Sebarang pertanyaan juga boleh dibuat dengan menghubungi Felicia Chen di talian 012-665 7863 ataupun emel kepada chopinmalaysia@yahoo.com. Maklumat mengenai pertandingan ini juga boleh didapati menerusi laman web www.chopinsociety.com.my

Tagged with:
 

Comments are closed.

s2Member®